Bazar Ramadan 2022 Dibenarkan Beroperasi Tahun Ini, Kata Perdana Menteri

bazar ramadan

Menurut Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tahun ini, tiada sekatan dikenakan terhadap aktiviti ekonomi termasuk bazar Ramadan.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih halus akan ditetapkan untuk bazar Ramadan 2022 ini yang akan diumumkan kemudian. Ramadan, bulan puasa bagi umat Islam, dijangka bermula pada 3 April selama sebulan sehingga 2 Mei 2022 di Malaysia.

“Kami tidak akan menutup perniagaan, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, sambutan Raya, bulan puasa, bazar Ramadan dan pasar malam semuanya akan disambung seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia semalam.

Sebelum ini, beberapa peniaga bazar Ramdan bimbang tidak dapat beroperasi tahun ini berikutan peningkatan kes gelombang Omicron sejak sebulan lalu.

Setakat semalam (13 Februari 2022), jumlah kes baharu Covid-19 dilaporkan sebanyak 21,072 menjadikan jumlah kumulatif kes melebihi 3 juta.

Walaupun dengan jumlah yang semakin meningkat, pihak berkuasa menenangkan orang ramai dengan mengatakan bazar Ramadan boleh dan akan beroperasi tahun ini tetapi dengan mematuhi SOP sedia ada.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim malah menyebut minggu lalu bahawa bazar Ramadan di wilayah persekutuan dibenarkan dibuka tahun ini kerana kita perlu memacu aktiviti ekonomi dalam tempoh ‘pasca’ COVID-19 ini.

Tahun lalu pada 2021, operasi bazar Ramadan juga dibenarkan tetapi hanya di beberapa kawasan dan di bawah SOP yang ketat, termasuk kawalan keluar masuk manakala pada 2020, mana-mana bazar tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

About Author

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

error: Content is protected !!