Enggan tegakkan tempat duduk dalam pesawat, lelaki ‘teruk’ dibelasah penumpang lain

RAKAMAN video menunjukkan mangsa dibelasah oleh penumpang lain akibat kedegilan mematuhi arahan ketika menaiki pesawat di Bangkok.-TWITTER

BANGKOK: Gara-gara enggan meletakkan tempat duduk ke posisi asal sebelum pesawat berlepas, seorang lelaki diserang oleh penumpang pesawat lain.

Walaupun pramugara meminta semua penumpang meletakkan tempat duduk pada kedudukan tegak dan memasang tali pinggang keledar, lelaki itu tetap berdegil dan gagal mematuhi arahan tersebut.

Penumpang itu memberikan alasan dia perlu berbaring kerana mengalami sakit belakang ketika menaiki pesawat Thai Smile Airways yang akan berlepas ke Kolkata, India dari Bangkok.

“Saya kerap menaiki pesawat, saya tahu apa yang saya buat sekarang,” katanya penuh angkuh.

Kru kabin berusaha menjelaskan dengan baik mengenai prosedur operasi standard bagi mengelakkan penumpang belakang terhalang untuk menyelamatkan diri sekiranya situasi kecemasan berlaku.

Lelaki itu kemudian mencabar anak kapal melaporkan perkara tersebut kepada kapten pesawat jika mahu berbincang lanjut mengenai situasi yang dialaminya.

Bagaimanapun, sekumpulan penumpang yang berang dengan tindakan mementingkan diri itu sehingga menyebabkan operasi pesawat tergendala memukul lelaki itu berulang-kali.

Menerusi rakaman yang dimuat naik dalam akaun Twitter milik penyunting berita The Times of India, mangsa dilihat cuba mempertahankan dirinya dengan anak kapal cuba campur tangan bagi meredakan keadaan.

Insiden yang tercetus pada pukul 11.30 malam di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, itu bagaimanapun tidak menyebabkan mana-mana penumpang dihalang menaiki penerbangan.

Selepas keadaan kembali reda, kesemua penumpang kembali di tempat duduk masing-masing dan penerbangan diteruskan seperti biasa. – AGENSI

Sumber : UtusanMalaysia

Lihat Juga :   Kadar Tol Bagi Empat Lebuhraya Akan Turun Pada 20 Oktober

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

error: Content is protected !!