Kadar inflasi Singapura naik kepada 5.1 peratus

SINGAPURA: Indeks harga pengguna utama Singapura meningkat kepada 5.1 peratus pada Disember, lebih tinggi sedikit daripada ramalan, menurut data rasmi yang dikeluarkan semalam.

Kadar inflasi teras, tidak termasuk pengangkutan per­sendirian dan kos penginapan bagaimanapun kekal pada kadar 5.1 peratus yang direkodkan November lalu.

Dalam tinjauan Reuters, ahli-ahli ekonomi meramalkan pe­ningkatan indeks harga pengguna Disember pada 5 peratus.

Inflasi keseluruhan berkura­ngan kepada 6.5 peratus tahun ke tahun pada Disember, daripada 6.7 peratus bulan sebe­lumnya.

Bagi keseluruhan 2022, purata inflasi teras pada 4.1 peratus, lebih tinggi 0.9 peratus daripada yang dicatatkan pada 2021. Sementara itu, inflasi utama berada pada 6.1 peratus, meningkat daripada 2.3 peratus pada 2021.

Bank pusat sebelum ini berkata, inflasi teras berkemungkinan kekal sekitar 5 peratus pada awal 2023.

Ia turut mengunjurkan kadar inflasi teras antara 3.5 dan 4.5 peratus pada 2023, dengan inflasi utama antara 5.5 hingga 6.5 peratus.

Sementara itu, bursa saham Singapura merekodkan paras tertinggi dalam tempoh sembilan bulan, mendahului pasaran saham Asia lain dengan mata wang Thailand, baht susut menjelang pengumuman kenaikan kadar faedah oleh bank pusat negara itu.

Baht jatuh 0.3 peratus walaupun jangkaan Bank of Thailand akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas (bps) lagi untuk mengekang inflasi yang tinggi.

Baht telah meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar setakat tahun ini, menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia, didorong oleh dolar yang lebih lemah dan pembukaan semula China lebih awal daripada jangkaan.

Ringgit meningkat 0.3 peratus, won Korea Selatan mengukuh 0.2 peratus, dan rupee India meningkat sebanyak 0.3 peratus, selepas pasaran di kebanyakan negara Asia kembali dibuka selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Lihat Juga :   Masalah Kekurangan Cip Global Akan Menjadi Lebih Buruk

Dolar Singapura naik 0.2 peratus dengan penganalisis menjangkakan prospek jangka sederhana untuk mata wang itu disokong oleh kemungkinan langkah pengetatan oleh bank pusat dan pembukaan semula China.

Rupiah Indonesia susut 0.5 peratus, selepas mengalami lonjakan sebanyak 1.2 peratus sehari sebelumnya. Bank pusat negara itu minggu lalu memberi isyarat penamatan awal kepada kitaran pengetatan kadar faedah. – AGENSI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *