LONDON: Gara-gara mahu membina keyakinan diri, seorang lelaki sanggup membelanjakan hampir 19,800 Pound (RM105,441) untuk mentransformasi dirinya dengan menjalani pembedahan kosmetik.
Lapor Mirror, Marcello Cantu, 31, mengakui dirinya sebelum ini terasa terlalu segan untuk keluar janji temu mahupun bercakap dengan wanita.
Justeru, katanya, dia memutuskan untuk menjalani pembedahan plastik semata-mata mahu meningkatkan keyakinan dirinya.
Menurut Cantu, dia melakukan dua pemindahan rambut dan pembedahan hidung agar kelihatan mancung, selain rawatan buang lemak pada bahagian mata kirinya.
“Saya juga melakukan pembedahan kecil dengan merapatkan balik kedua-dua telinga ke belakang,” katanya.
Cantu yang juga merupakan ahli perniagaan berkata, dia melakukan pembedahan plastik berkenaan di Turkiye pada akhir 2021.
Katanya, proses pemulihan daripada pembedahan plastik yang dilakukannya mengambil masa selama tiga bulan.
“Saya mahu menjadi individu yang berbeza, jadi saya fikirkan ia dapat dilakukan dengan mengubah penampilan luar saya.
“Sebaik sahaja melakukan prosedur tersebut, saya dapati ramai wanita mula tertarik dengan saya dan ini sekaligus meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan mereka,” katanya