Tik Tok bantu lariskan jualan ‘chicken chop’ Firdaus

Tik Tok bantu lariskan jualan ‘chicken chop’ Firdaus
TANGKAP layar daripada satu rakaman video yang tular di TikTok menunjukkan Muhd. Firdaus Kamarudin sedang mempromosikan produk 'chicken chop' miliknya di tepi jalan di Jalan Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Oleh ISWAN SHAFIQ ISA 4 September 2021, 8:20 am

BUKIT MERTAJAM: Bagi seorang pemuda di sini, segala-segalanya bermula apabila dia secara spontan memuat naik rakaman video mengenai perniagaan ‘chicken chop’ miliknya ke dalam aplikasi TikTok sementara menunggu kehadiran pelanggan, April lalu.

Tanpa disangka, video tersebut menjadi tular dan sejak itu boleh dikatakan hampir setiap hari Muhd. Firdaus Kamarudin, 21, akan didatangi oleh pelanggan baharu.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, sebelum menjual ‘chicken chop’ di tepi jalan di Jalan Kota Permai di sini, dia pernah terlibat dengan perniagaan pakaian terpakai.

“Ketika itu, saya banyak mempromosikan perniagaan melalui Facebook dan Instagram sahaja.

“Bisnes ‘chicken chop’ ini pun saya ada masukkan juga tapi tak jalan. Tapi, sejak tular dalam TikTok, Alhamdulillah, ramai yang datang cari saya di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Muhd. Firdaus yang menggunakan nama timangan @achikkamal dalam akaun TikTok itu ketika ini memiliki hampir 21,000 pengikut dengan salah satu video berkaitan ‘chicken chop’ yang dimuatnaiknya telah mencapai hampir 580,000 tontonan.

Video berdurasi 19 saat itu menunjukkan dia sedang memegang kadbod bertulis ‘Chicken Chop RM10’ dengan beberapa kotak makanan itu disusun di atas sebuah motosikal Modenas Kriss dengan berlatarbelakangkan pemandangan jalan raya yang sibuk.

Dalam pada itu, dia yang telah menetap di Pulau Pinang bersama keluarga angkatnya sejak lima tahun lalu memberitahu, kuah atau sos untuk ‘chicken chop’ dihasilkannya sendiri dan dua rakannya turut membantu dari segi jualan makanan tersebut.

“Dalam sehari biasanya kami akan menjual sehingga lebih 100 kotak ‘chicken chop’ dan jika ada baki yang tidak terjual, kami akan sedekahkan sahaja kepada orang ramai khususnya ‘frontliner’ yang bertugas di sekatan jalan raya berhampiran,” kata anak ketiga daripada sembilan beradik itu.

Menurut Muhd. Firdaus, ‘chicken chop’ jalanannya dijual hampir setiap hari iaitu antara pukul 12 tengah hari hingga 10 malam bergantung kepada keadaan semasa.

“Insya-Allah, jika ada rezeki lebih, saya juga berhasrat untuk memiliki kedai sendiri selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

%d bloggers like this: