Amazon akan berhentikan lebih 18,000 pekerja mulai Januari

WASHINGTON: Amazon.com dijangka memberhentikan lebih 18,000 pekerjanya, lebih ramai daripada jumlah yang didedahkan sebelum ini sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andy Jassy dalam nota kepada kakitangan pada Rabu berkata, pemberhentian tersebut yang akan dilaksanakan mulai 18 Januari ini akan memberi kesan kepada bahagian e-dagang dan sumber manusia syarikat itu.

Pemotongan itu melibatkan enam peratus daripada kira-kira 300,000 tenaga kerja korporat Amazon dan menunjukan pu­singan pantas peruncit tersebut yang baru-baru ini menggandakan siling gaji asasnya untuk bersaing lebih agresif bagi mendapatkan pekerja berbakat.

Menurut Reuters, Amazon mempunyai lebih 1.5 juta pekerja termasuk kakitangan gudang, menjadikannya majikan swasta kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) selepas Walmart Inc.

Sahamnya meningkat dua peratus dalam sesi dagangan selepas waktu kerja.

“Pelan tahunan adalah lebih sukar memandangkan ekonomi yang tidak menentu dan kami telah mengambil pekerja dengan pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Andy dalam nota itu.

Amazon telah bersedia untuk kemungkinan pertumbuhan yang lebih perlahan kerana inflasi yang melambung tinggi mendorong perniagaan dan pengguna untuk mengurangkan perbelanjaan, dengan harga sahamnya telah berkurangan separuh pada tahun lalu.

Syarikat itu mula melepaskan kakitangan pada November dari bahagian perantinya dan sumber Reuters pada masa itu memberitahu, ia menyasarkan sekitar 10,000 pengurangan pekerja.

Nota Andy dikeluarkan susulan laporan dalam The Wall Street Journal bahawa pemberhentian itu akan melibatkan lebih daripada 17,000 pekerja.

Beliau berkata, Amazon memilih untuk mendedahkan perkara itu sebelum memaklumkan kakitangan yang terjejas akibat kebocoran maklumat mengenainya.

Lihat Juga :   Pengasas firma ventilator, Li Xiting mendahului senarai Forbes yang terkaya di Singapura

Industri teknologi kehilangan lebih daripada 150,000 pekerja pada 2022, menurut laman web penjejakan, Layoffs.fyi dan jumlah tersebut dilaporkan terus bertambah. – AGENSI

About Author

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

error: Content is protected !!