Ogos 1, 2021
rebat bill elektrik julai 2021

Diskaun Bil Elektrik Bersasar Sehingga 40 Peratus Bagi Tempoh 1 Julai Hingga 30 September 2021

KEMENTERIAN TENAGA DAN SUMBER ASLI
KENYATAAN MEDIA

Susulan kepada pengumuman khas YAB Perdana Menteri mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang turut memaklumkan tentang pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di Semenanjung dan Sabah, sukacita saya memperincikan pemberian diskaun tersebut.

Pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati diskaun bil elektrik seperti berikut:

  1. Pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun sebanyak 40%. Seramai 2.9 juta pengguna elektrik dijangka akan menikmati diskaun ini;
  2. Seramai 1.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 201 hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun sebanyak 15%;
  3. Seramai 2.4 juta pengguna domestik dengan penggunaan elektrik di antara 301 hingga 600kWj akan menerima diskaun sebanyak 10%;
  4. Seramai 700,000 pengguna domestik dengan penggunaan elektrik di antara 601 hingga 900kWj akan menerima diskaun sebanyak 5%; dan
  5. Diskaun ini akan diberikan bagi bil elektrik bulan Julai, Ogos dan September 2021.


Bagi pengguna bukan domestik di Semenanjung pula, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan diskaun sebanyak 5% kepada pengguna-pengguna elektrik di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian di bawah voltan rendah. Dengan pemberian diskaun ini, Kerajaan berharap is akan dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi mereka. Sementara itu, pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus akan terus menerima diskaun sebanyak 10% dalam tempoh yang sama.

Diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna elektrik di Semenanjung ini akan dibiayai secara bersama oleh Kerajaan sebanyak RM413 juta dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Bagi pengguna-pengguna elektrik di Sabah pula, diskaun bil elektrik secara bersasar bagi tempoh tiga bulan, bermula pada 1 Julai hingga 30 September 2021 akan diberikan seperti berikut:

  1. 220,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun sebanyak 40%;
  2. 90,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 201 hingga 300kWj akan menerima diskaun sebanyak 15%;
  3. 110,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 301 hingga 500kWj akan menerima diskaun sebanyak 10%; dan
  4. 90,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 501 hingga 1000kWj akan menerima diskaun sebanyak 5%.


Bagi pengguna bukan domestik di Sabah pula, pengguna-pengguna kategori komersial, industri dan pertanian bervoltan rendah akan menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 5%, sama seperti di Semenanjung. Pemberian diskaun bil elektrik di Sabah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan dengan dana berjumlah RM24 juta.
Mengambil kira keputusan Kerajaan untuk mengekalkan rebat sebanyak 2 sen/kWj kepada pengguna elektrik di Semenanjung dengan memperuntukkan dana berjumlah RM493 juta, jumlah keseluruhan kos pemberian rebat di Semenanjung dan diskaun elektrik di Semenanjung dan Sabah ialah RM980 juta yang dibiayai oleh Kerajaan sebanyak RM930 juta dan TNB sebanyak RM50 juta.
Selain itu, Kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan kerjasama TNB untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

  • tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0 Fasa 1;
  • penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 September 2021; dan
  • Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021.

Bagi pengguna-pengguna di Sabah pula, pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

  • tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sehingga 31 Julai 2021;
  • penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 September 2021; dan
  • Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik boleh dimohon oleh pengguna yang layak sehingga 31 Disember 2021. Pengguna dialu-alukan menghubungi SESB bagi menyemak perkara ini.

YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR BIN HJ NASARAH MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
28 Jun 2021
Unit Komunikasi Korporat I Kernenterian Tenaga dan Sumber Asli
No. Tel. : 03-8000 8000 I Faks : 03-8889 4763 I Web www.ketsa.gov.my

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: