Kerajaan kaji bawa masuk EV bawah RM100,000

NIK NAZMI NIK AHMAD (dua dari kanan) melancarkan Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort di Bangi Golf Resort, Bangi, Selangor. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI

BANGI: Kerajaan sedang mengkaji untuk membawa masuk kenderaan elektrik (EV) yang berharga RM100,000 ke bawah supaya dapat mencapai pasaran yang lebih meluas dalam kalangan rakyat negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut juga dapat dilakukan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat automotif.

Katanya, kebanyakan kenderaan EV yang dibawa masuk ke negara pada masa ini adalah bernilai RM100,000 ke atas sahaja.

“Kerajaan tengah lihat bagaimana untuk membawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik dan antara faktor penting ketika ini bila Proton akan bawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat.

“Namun kenderaan itu dibawa masuk dari luar negara. Kalau kita dapat pasang kenderaan itu di Malaysia, mungkin dapat membantu menawarkannya pada harga yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika temui selepas majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort dan Penyerahan Lesen Pengagihan Awam Sistem Pengecas EV oleh Suruhanjaya Tenaga di Bangi Golf Resort di sini, hari ini.

Mengulas mengenai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan bagi mengalakkan rakyat menggunakan kenderaan EV, beliau berkata, perkara tersebut mungkin akan dilihat dalam Bajet 2023 yang disemak semula atau Bajet 2024.

“Sebelum ini pun kerajaan sudah ada insentif untuk EV. Pada masa akan datang mungkin kerajaan akan melihat dalam Bajet 2023 yang disemak semula atau Bajet 2023,” ujarnya.

Ditanya mengenai perincian tarif elektrik baharu, beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif elektrik terhadap rakyat, biarpun jumlah keseluruhan kos subsidi bahan api itu bakal mencecah RM30 bilion.

Lihat Juga :   Teksi BYD e6 EV di Malaysia – perkhidmatan TeksiKu semua EV akan mula beroperasi di Lembah Klang November ini

Bagaimanapun, Anwar memberitahu, tarif elektrik akan dinaikkan sedikit untuk kategori syarikat multinasional yang mengeksport produk ke luar negara. – UTUSAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

error: Content is protected !!