Letup bom buatan sendiri sebab tidak puas hati jiran batuk

BUTTERWORTH: Tidak puas hati terhadap jiran yang batuk setiap kali melalui koridor rumah didakwa menjadi motif utama pasangan kekasih meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jiran mereka itu di flat Taman Pandan, dekat sini kelmarin.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, polis masih meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kedua-dua suspek bertindak sedemikian.

Katanya, kedua-dua suspek terdiri daripada lelaki tempatan dan wanita warga Indonesia yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun itu adalah pasangan kekasih yang tinggal di flat yang sama.

“Setakat ini, motif kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap jirannya yang didakwa selalu batuk setiap kali melalui kaki lima untuk ke rumahnya.

“Susulan itu, suspek bertindak meletakkan bahan letupan berkenaan kerana marahkan jirannya.

“Kedua-duanya direman selama empat hari bermula semalam sehingga 12 Oktober ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kedua-dua suspek ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden letupan bom buatan sendiri kelmarin.

Siasatan awal turut membawa kepada penemuan satu lagi bom buatan sendiri dan pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan peluru buatan sendiri serta kerambit.

Suspek utama turut mengakui mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web manakala bahan yang digunakan diperolehi menerusi pembelian online.

Terdahulu, satu letupan dilaporkan berlaku di flat terbabit pukul 12.56 tengah hari kelmarin.

Saksi kejadian turut menemukan bungkusan dipercayai bahan letupan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Lihat Juga :   FENOMENA GERHANA BULAN PENUH PADA 8 NOVEMBER 2022

 

About Author

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

error: Content is protected !!