PETALING JAYA: BYD telah menyerahkan 100 unit pertama kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya, ATTO 3 kepada pelanggan di Malaysia.
ATTO 3 sudah menerima kira-kira 1,000 tempahan dalam tempoh hanya 10 hari, susulan kejayaan pelancarannya di negara ini.
Pengarah Urusan Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan berkata, penghantaran kumpulan pertama kenderaan BYD ATTO 3 ke pasaran Malaysia membolehkan syarikat bersedia untuk mengekalkan momentum dengan lebih banyak unit ketika sedang dihantar dan akan tiba di negara ini tidak lama lagi.

17 Januari 2023, 8:41 pm
“Kami akan terus memacu usaha mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia, ketika syarikat mengembangkan portfolio EV dengan rakan berkelas dunia seperti BYD untuk membawa inovasi menarik ke dalam pasaran.
“Kami berusaha untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi pilihan mesra alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah mencapai mobiliti karbon rendah,” katanya dalam kenyataan.
Disediakan dalam dua varian, BYD ATTO 3 berharga daripada RM149,800 bagi model Standard Range dan RM167,800 (Extended Range), dengan pilihan lima warna iaitu Surf Blue, Parkour Red, Boulder Grey, Forest Green dan Ski White.
BYD ATTO 3 mengandungi ciri-ciri canggih dan menawarkan keupayaan bateri yang cemerlang untuk bergerak sejauh 480 kilometer dengan sekali cas.
Dibina menggunakan teknologi canggih BYD dengan e-platform 3.0, EV berprestasi tinggi itu dilengkapi dengan kepintaran, kecekapan, standard keselamatan tanpa tandingan dan reka bentuk menakjubkan.
BYD adalah syarikat teknologi tinggi multinasional berpangkalan di Xi’an, Shaanxi, China yang menumpukan kepada inovasi teknologi.
Diasaskan pada 1995 sebagai pengeluar bateri boleh dicas, BYD kini memiliki skop perniagaan yang merangkumi automotif, transit rel tenaga baharu dan elektronik.
Ia mempunyai kira-kira 30 taman industri di China, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun, Brazil, Hungary dan India. – UTUSAN