KUALA LUMPUR – Axiata Group Bhd (Axiata) dan Digi.Com Bhd tidak sabar-sabar untuk merealisasikan potensi syarikat penggabungan yang dicadangkan (MergeCo) dari segi memperkukuh kapasiti untuk memacu pendigitalan bagi pengguna, perniagaan, ekosistem rakan kongsi dan pembangunan bakat tempatan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata MergeCo akan menyediakan kualiti dan liputan rangkaian yang lebih baik kerana ia akan bersedia untuk melabur dalam pengembangan rangkaian bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk data dan pendigitalan.
MergeCo akan berada pada kedudukan yang baik untuk memacu penyelesaian 5G, memangkin peluang pertumbuhan baharu untuk perusahaan besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan menarik serta bekerjasama dengan gergasi digital global bagi menyokong aspirasi Jendela dan MyDigital.
“MergeCo juga akan memanfaatkan gabungan skala ekonomi untuk menyampaikan manfaat kepada pelanggan melalui pengedaran teras yang diperkukuh, operasi rangkaian yang lebih baik dan kecekapan yang direalisasikan daripada aktiviti operasi,” kata mereka.