Penghidap bipolar raih RM4,000 sebulan jual baju dalam talian

Penghidap bipolar raih RM4,000 sebulan jual baju dalam talian

DUNGUN: Walaupun perniagaannya merudum akibat Covid-19 pada tahun lalu, namun bukan halangan buat pesakit mental dari Kampung Nibong Stesen di sini untuk terus bangkit bergelar usahawan.

Mohd. Hafiz Almuhaimi Mohd. Halim, 31, nekad mengusahakan semula operasi kedai bajunya dengan memilih platform e-dagang, Shopee, hingga mampu meraih pendapatan mencecah RM4,000 sebulan, kini.

Katanya, sepanjang 14 tahun mengalami masalah mental dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), perjalanannya sebagai usahawan bukan mudah, malah tahun lalu dia terpaksa dimasukkan ke wad psikiatri selama tiga minggu berikutan diserang bipolar.

“Saya gagal mengawal emosi kerana perniagaan jatuh pada Jun 2020 hingga operasinya yang menumpang di kedai rakan terpaksa ditutup.

“Namun, dengan sokongan isteri dan keluarga saya nekad meneruskan semula jualan baju-T secara dalam talian dan tidak sangka mendapat sambutan positif hingga mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.

Mohd. Hafiz Almuhaimi yang memiliki seorang cahaya mata berkata, sejak memulakan perniagaan pada 2017, jualan tertinggi yang pernah dicatatkan adalah sebanyak RM100,000 pada Ramadan 2018.

Menurut lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit itu, dia disahkan mengalami masalah mental ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian menerima rawatan psikiatri di Hospital Permai di Johor di samping Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. 

Katanya, penyakit itu mulai disedari keluarga susulan perubahan emosinya, malah turut diuji apabila sering mendengar bisikan.

“Selepas menamatkan pengajian di IPG, saya sempat bertugas di sebuah sekolah di Sarikei, Sarawak pada 2015 tetapi akibat serangan bipolar, khidmat saya ditamatkan kerana dikategorikan sebagai tidak layak mengajar.

“Pada masa itu, saya sangat kecewa kerana guru merupakan impian saya bagi mengikut jejak langkah ayah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: